17 Oktober 2012

Kari Ayam

Assalamualaikum :D
Salam Rindu...Salam Sayang...Salam Sejahtera khas buat semua sahabat blog yang dikasihi...terrrrlebih pulak Kak Lin ni....hihihihi.  Kak Lin begitu gembira hari ni Mak kesayangan Kak Lin sudah beransur sihat dan Insya Allah mudah-mudahan akan terus sihat seperti biasa. Bila dah sihat tahu jer lah, mula lah nak balik kampung. Kak Lin kata tunggu dulu biar betul2 sihat.

Dah lama tak masak Kari Ayam, Laling Kak Lin suka Kari Ayam yang cair2 gitu...tapi siisterinya ni selalu masak Kari Ayam yang pekat2 jerrr.....betul2 tak pandai menambat selera Laling! nasib baik Laling masih sayang! hahahahaha.  Hari ni Kak Lin nak kongsi resepi Kari Ayam yang simple jerrrr.... :D

KARI AYAM
Resepi : MYR-FarihaFaizal
Dicuba Oleh : LinRosly


Bahan2:-
1/2 ekor ayam - dipotong kecil
1/2 biji kelapa - pati santan
2 biji ubi kentang
1 labu bawang besar - potong 4 *Kak Lin ganti buah tomato - belah 4
2 ulas bawang merah*
2 ulas bawang putih *
- sedikit halia* (*tumbuk)
2 sudu rempah kari daging atau ayam
2 sudu besar lada kisar
1 batang serai - dititik
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga cengkih
2 biji buah pelaga
2 kuntum bunga lawang
- garam secukup rasa
- minyak
- air


Cara2:-
Panaskan periuk dengan sedikit minyak. Tumis kulit kayu manis, bunga cengkih, bunga lawang dan buah pelaga bersama bawang dan halia yang telah ditumbuk.

Kemudian Masukkan pula rempah kari dan cili kisar yang telah dibancuh dengan sedikit air. Setelah naik minyak masukkan pula air asam jawa dan ubi kentang dan masukkan sedikit air. Masukkan pula pati santan dan serai yang telah dititik.

Setelah mendidih masukkan ayam dan garam secukup rasa. Biarkan kentang empuk dan ayam masak. Akhir sekali masukkan buah tomato. Bila dah masak bolehlah diangkat dan dihidangkan. 





28 September 2012

Cucur@Cekodok Ikan Bilis Air Panas

Assalamualaikum :D
Salam sejahtera, salam sayang dan salam rindu pada semua rakan-rakan blog yang dikasihi. Alhamdulilah.... dipagi Jumaat yang mulia ini, Kak Lin masih bernafas dan masih boleh mengupdate blog untuk tatapan kalian semua. Walaupun blog Kak Lin ini tiada masakan yang hebat-hebat dan gambar yang cantik2 tapi alhamdulilah kalian semua masih sudi berkunjung kesini demi persahabatan dan ukhwah yang terjalin. Terima kasih.

Hari ni cuma Kak Lin nak kongsi resepi Cucur@Cekodok Ikan Bilis Air Panas yang dah biasa juga kalian buat kot...sebelum ni Kak Lin pernah beberapa kali buat Cekodok Air Panas ni tapi main agak2 jer bahan2nya...kadang menjadi kadang tidak...hehehehe kali ni Kak Lin betul2 mengikut resepi yang diarahkan di SINI.  Syukran... Yaaa Tuan punya blog :D

CUCUR@CEKODOK IKAN BILIS AIR PANAS
Dicuba Oleh: LinRosly 


Bahan2:-
3 cawan tepung gandum*
- segenggam ikan bilis (tumbuk kasar)*
1 biji bawang besar (potong kecil2)*
1 biji lada merah (dihiris)*
- daun sup/bawang (dihiris)*
- garam secukup rasa*
21/2 cawan air panas mendidih
- minyak untuk mengoreng


Cara2:-
1. Satukan bahan yang bertanda* dan gaulkan kesemua bahan*
2. Bulatkan lubang ditengah adunan
3. Tuangkan air panas dan kacau dengan cepat, adunan akan menjadi berat dan kental
4. Bentukkan adunan seperti bebola mengikut selera
5. Panaskan minyak dan gorenglah dengan api sederhana hingga kekuningan


21 September 2012

Agar-Agar Santan Sirap Rose

Assalamualaikum :D
Tiada ribut tiada taufan dengan keadaan cuaca yang panas ni tetiba jer teringin nak makan Agar-Agar Santan Sirap Rose tambahan pulak bahan-bahannya memang ada kat rumah.  Semasa skodeng kawan-kawan punya blog tempohari, terpandang resepi tu di SINI. Tapiiiiii Agar-Agar Santan Sirap Rose yang Kak Lin buat ni selapis jer. Cara memasaknya Kak Lin ikut cara memasak  Agar-Agar Santan Pandan di dalam blog yang sama gak...Maaf yer tuan punya blog yang disayangi! sebab tak ikut Surat Perjanjian Hehehehehe :D

Hari ni Kak Lin nak ucapkan "SANAH HELWAH" barakallahu fik... buat anak kedua Kak Lin yang ke 18th...Semoga dipanjangkan usia, diberikan kesihatan yang berterusan, diperluaskan rezeki daripada rezeki yang halal, dipermudahkan dalam menghadapi peperiksaan, diberikan rahmat dan hidayah, dijauhkan daripada kesulitan...cemerlang di dunia, cemerlang diakhirat...Insya Allah...Ameen...


AGAR-AGAR SANTAN SIRAP ROSE
Sumber : Naz@Nadz 
Dicuba Oleh: LinRosly 



Bahan2:-
1 paket serbuk agar-agar 10gram atau 11gram
1 liter air (4 cawan)
200 gram gula pasir ( lebih kurang 1 cawan)
200-250 ml santan pekat * Kak Lin pun guna santan kotak
1 biji telur ayam - masukkan dalam santan dan kocak sedikit dengan garfu
1-2 sudu besar sirap rose atau beberapa titis pewarna pink dan perisa rose
2 hendai daun pandan
secubit garam


Cara2:-
1. Masak 1 liter air bersama gula dan serbuk agar-agar hingga gula larut.
2. Kecilkan api dan masukkan campuran santan bersama telur, garam dan sirap rose. Masukkan juga simpulan daun pandan.
3. Kacau dan tunggu hingga menggelegak atas api sederhana. PENTING!! bila menggelegak, kacau-kacau adunan dan pastikan api dijaga (kalau perlu kecilkan lagi api) supaya adunan menggelegak perlahan sahaja (mereneh). Bukan menggelegak dengan buih-buih yang besar tu yer. Kemudian tutup api. Tak perlu tunggu lama sehingga nampak santan berbintil-bintil.
4. Basahkan loyang atau pun apa-apa acuan dengan air. Kemudian tuang adunan agar-agar santan dan biarkan mengeras. Boleh disimpan dalam peti ais untuk dapatkan agar-agar yang sejuk.

Note:- 
Tips2 untuk membuat Agar-Agar selapis atau 2 lapisan dan cara2 yang betul memasak Agar-Agar Santan ni bolehlah skodeng di SINI Insya Allah pastinya jadiiiiiiii!!!!!!!


19 September 2012

Sardin Masak Kicap Pedas

Assalamualaikum :D
Dah lama betul Kak Lin tak masak ikan kurung (ikan sardin) semalam teringin pulak nak makan ikan sardin...selalu masak guna resepi sendiri, semalam teringin pulak nak cari resepi lain dari yang lain, nak ubah2 selera laaaaa katakan.....cari punya cari terrrrjumpa resepi tu di SINI. Perrrrhhh!!!! sedapnya. Sarapan pagi ni siap Kak Lin buat  jemput2 air panas makan dengan kuah sardin semalam....

SARDIN MASAK KICAP PEDAS
Sumber : Nor@SecubitGaram 
Dicuba Oleh : LinRosly


Bahan2:-
1 tin kecil  sardin - Kak Lin guna sardin tin besar cap ayam
2 ulas bawang putih - diketuk dan dicincang* Kak Lin letak 3 ulas bawang putih
3 ulas bawang merah - di mayang *Kak Lin letak 4 ulas bawang merah
1 sudu besar cili mesin
5-7 sudu besar kicap manis
5 biji cili padi - diketuk
1/2 cawan air
1/2 labu bawang besar - dipotong bulat* Kak Lin letak 1 labu bawang besar
1 biji limau kasturi
sedikit garam 
minyak


Cara2:-
Panaskan inyak dan tumis bawang putih dan bawang merah hingga wangi
Masukkan cili mesin dan tumis lagi hingga garing
Masukkan pula kicap dan sos dalam tin sardin
Masak sekejap dan masukkan air dan garam. Masak lagi hingga mendidih
Masukkan ikan sardin dan cili api, biarkan merenih
Masukkan hirisan bawang besar, kacau seketika dan padamkan api
Perahkan limau kasturi dalam masakan dan kacau rata
Angkat dan hidangkan.



17 September 2012

Kek Sarang Lebah

Assalamualaikum :D
Hari ni pula Kak Lin nak kongsi resepi Kek Sarang Lebah. Kak Lin ambil resepi ini daripada Majalah Rasa 2012 buat kali pertama tak menjadi tapi buat kali kedua  dengan kerjasama jiran Kak Lin yang dah biasa membuat kuih2 jual akhirnya menjadi juga Kek Sarang Lebah Kak Lin ni.... Terima kasih "Puan Sapura".

Puan Sapura ni seorang jiran yang baik, dia adalah seorang oku dan punya 2 orang cahaya mata yang masih kecil. Tugasnya hari2 buat kuih untuk dihantar ke kantin Kilang di sekitar daerah Batu Pahat. Tapi yang sedihnya sekarang ni beliau menghidapi ketumbuhan di  payu dara dan pada 27/08/2012 beliau telah menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan tersebut....setelah ketumbuhan tersebut dibuang dan diuji di makmal barulah Doctor tahu yang ketumbuhan tersebut  adalah barah. Pada  5/11/2012 yang akan datang beliau dikehendaki menjalani sekali lagi pembedahan untuk membuang semua letumbuhan tersebut.  

Kenapalah Doctor tak dapat kesan lebih awal yang ketumbuhan tersebut adalah barah...kalau tidak dia hanya menjalani sekali pembedahan sahaja tidaklah sampai 2 kali pembedahan. Sedih dan kasihan Kak Lin melihatkan penderitaannya.   Kak Lin doakan beliau dipanjangkan usia, semoga selamat menjalani pembedahan, dan senantiasa di dalam rahmat dan hidayah ALLAH hendaknya...Ameen...

KEK SARANG LEBAH
Sumber : Majalah Rasa 2012
Dicuba Oleh : LinRosly


Bahan Karamel:-
1 cawan gula
1 cawan air

Cara:-
Gula dimasak hingga menjadi kekuningan atau coklat sedikit. Jangan sampai hangus. Kemudian curah air perlahan-lahan. Kacau sehingga rata. Setelah rata tutup api dan biarkan sejuk.


Bahan2:-
2 sudu besar mentega*Kak Lin lebihkan sedikit 2 1/2 sudu
1 sudu kecil esen vanila
1/2 cawan susu pekat manis
5 biji telur *Kak Lin guna gred C
1 cawan tepung gandum *
1 sudu kecil soda bikarbonat* diayak

Cara:-
1. Pukul mentega dan esen vanila hingga kembang sedikit dengan menggunakan spatula.
2. Masukkan susu pekat dan kacau rata.
3. Masukkan sebiji telur, kacau rata dan masukkan sebiji lagi kacau rata ulangi hingga habis.
4. Masukkan tepung gandum dan soda bikarbonat yang telah diayak sekali. Kaup balikkan biar rata.
5. Setelah adunan rata masukkan pula karamel, kacau perlahan hingga bergaul rata. Kalau adunan cair tambah sedikit tepung gandum sedikit demi sedikit hingga adunan menjadi pekat sedikit.


13 September 2012

Ayam Goreng Tomyam

Assalamualaikum :D
Alhamdulilah hari ni Kak Lin nak kongsi resepi daripada Chef Hanieliza melalui buku 1 hari 1 resepi iaitu Ayam Goreng Tomyam, senang dimasak, sedap dimakan! janji semua bahan ada kat rumah....Hehehehe. Kak Lin hanya tinggal dengan suami jer, jadi Kak Lin masak pun cukuplah sekadar untuk makan berdua.

AYAM GORENG TOMYAM
Sumber : Chef Hanieliza
Dicuba Oleh : LinRosly


Bahan A:-
300 gram isi ayam *dipotong nipis
1 batang serai *diketuk
1 sudu makan pes tomyam
5 biji limau kasturi *diambil airnya
1 pokok daun ketumbar *dipotong kecil 
(Kak Lin tk bubuh sbb tk suka bau daun ketumbar)
1 sudu teh minyak masak
Garam secukup rasa

Bahan Hiris:-
5 biji cili merah
8 biji cili padi
1 inci halia
2 labu bawang besar


Cara:-
1. Panaskan minyak. Tumis bahan hiris dan serai yang sudah diketuk.
2. Masukkan isi ayam dan kacau rata. Masakkan sehingga lembut.
3.Tutup api dan masukkan air perahan limau kesturi yang sudah dibancuh dengan pes tomyam dan daun ketumbar.  Kacau sehingga rata.
4. Hidangkan dengan nasi.


10 September 2012

Rendang Daging

Assalamualaikum :D
Hari ini Kak Lin nak kongsi Rendang Daging resepi daripada Chef Sarji Ramli dari De Palma Hotel, Shah Alam. Pada Kak Lin memang sedaplah  rasanya.  Bahan2nya pun simple jer.... Rendang ni Kak Lin masak pada hari raya pertama tempohari tapi hari ini baru dapat dikongsi dengan rakan2 blog. Al-maklumlah sibuk beraya :D 

RENDANG DAGING
Resepi : Chef Sarji Ramli - Majalah Saji 2006
Dicuba Oleh : LinRosly


Bahan2:-
600 gram daging*potong nipis atau dadu
400 gram santan
2 cawan minyak masak
30 gram bawang putih
60 gram bawang merah
40 gram serai
30 gram lengkuas
30 gram halia
20 gram kunyit
80 gram cili kering*kisar
1 helai daun kunyit*dihiris halus
gula dan garam secukup rasa


Cara2:-
1. Ambil bawang putih, bawang merah, serai, lengkuas dan kunyit. 
2. Masukkan ke dalam pengisar dan kisar halus.
3. Panaskan kuali dan masukkan minyak.  
4. Masukkan bahan-bahan yang telah dikisar dan tumis sehingga naik bau.
5. Masukkan daging dan masak sehingga separuh lembut.
6. Masukkan pula cili kering yang telah dikisar bersama santan.
7. Masukkan pula daun kunyit dan kacau sehingga daging masak.
9.  Masukkan garam dan gula secukupnya.
10. Setelah masak. Hidang bersama nasi himpit.


18 Ogos 2012

Kad Raya Dan Biskut Raya 2012




Assalamualaikum :D
Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin pada semua rakan-rakan blog yang tersayang...manalah tahu jikalau ada salah dan silap Kak Lin semasa meninggalkan komen atau pun semasa menjawab komen-komen kalian.  Sebagai seorang manusia ada masanya kita tak sedar apa yang telah kita perkatakan dan kita lakukan.

Ini pula biskut raya Kak Lin untuk tahun ini. Simple2 jer. Kak Lin tak banyak buat biskut raya, selebihnya Kak Lin beli kerepek dan rempeyek.


BISKUT DAHLIA
Resepi: Norazie - Resepi.net
Sumber : NoorshaMas
Dicuba Oleh: LinRosly 



Bahan2:-
300 gram mentega - SCS atau Anchor atau mentega pilihan
160 gram gula aising - Kak Lin ikut Noorsha guna 120 gram
2 biji kuning telur
4 sudu makan susu pekat manis - Kak Lin ikut Noorsha tambah
1 camca teh esen vanilla
240 gram tepung gandum*
100 gram tepung jagung*
160 gram tepung kastard (Kak Lin ikut Noorsha guna 200 gram)*
(*bahan bertanda* diayak)
Ceri merah - dipotong kecil untuk hiasan

Cara2:-
Puter mentega dan gula aising hingga berkrim, masukkan kuning telur dan esen vanilla @ rose dan putar hingga kembang. (Noorsha pukul bersama mentega, gula aising, kuning telur dan susu pekat dengan menggunakan spatula sahaja asal bercampur semua...tak perlu pukul lama sebab nanti kukis jadi kembang).

Perlahankan speed, masukkan tepung sedikit demi sedikit hingga habis. Adunan akan menjadi doh yang lembut dan mudah ditekan. (Untuk step ini, Noorsha masukkan tepung kastard dan tepung jagung terlebih dahulu... kacau rata dengan spatula, kemudian baru masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit hingga adunan menjadi doh yang lebut dan mudah dibentuk).

Masukkan doh ke dalam alat penekan yang dipasang muncung untuk biskut dahlia. Tekan atas dulang pembakar. Buat hingga sia dan hias dengan sepotong kecil ceri. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 175C selama 15-20 minit. ( Kak Lin pun macam Noorsha dan Mas guna suhu 130C dan bakar selama 20 minit....suhu ni bergantung pada jenis oven masing2 ya...jadi kenali oven anda...hehe)

Biarkan biskut sejuk sedikit atas dulang pembakar sebelum dialihkan ke atas jaringan. Biar sejuk sebelum disimpan dalam bekas kedap udara.


BISKUT NESCAFE
Resepi: LinRosly


Bahan2:-
1biji telur
1/2 cawan gula halus
1/2 cawan susu pekat
2 camca nescafe
3 cawan tepung gandum
2 cawan tepung jagung
1/2 buku mentega
1 sudu esen vanilla

Cara2:-
Mentega, gula, susu, nescafe dan telur dikacau rata, masukkan esen vanilla. Kemudian masukkan tepung jagung. Masukkan pula tepung gandum sedikit demi sedikit. Uli hingga sebati. Terap mengikut bentuk bintang. Sapu kuning telur diatasnya letak manik kemudian bakar hingga masak.


BEBOLA KRISTAL
Resepi : Buku Chef Hanieliza
Dicuba Oleh : LinRosly 



Bahan A
250 gram tepung gandum
125 gran gula halus
125 gram minyak sapi

Bahan B
Pewarna merah, kuning dan hijau
Acuan kertas
Gula halus secukupnya

Cara2:-
1.Gaulkan semua Bahan A sehingga sebati.
2.Bahagikan adunan kepada 3 bahagian dan masukkan warna yang berlainan seperti merah, kuning dan hijau.
3.Bentukkan adunan seperti bebola kecil dan cantumkan tiga warna seperti bebola besar sedikit.
4. Masukkan ke dalam loyang dan bakar pada suhu 180C selama 20 hingga 25 minit.
5. Apabila sudah sejuk gaulkan kedalam gula halus. Masukkan kedalam acuan kertas.
6. Simpan dalam balang kedap udara.


TART PRUN
Resepi : Buku Chef Hanieliza
Dicuba Oleh: LinRosly


Bahan2:-
150 gram mentega
100 gram marjerin
150 gram gula halus
1 biji telur
1 sudu teh esen vanilla
50 gram tepung jagung*
50 gram tepung kastard *
350 gram tepung gandum* diayak

Cara:-
1. Pukul mentega, marjerin dan gula hingga kembang
2. Masukkan telur dan esen vanilla. Pukul lagi sehingga sebati
3.Masukkan tepung jagung, tepung kastard, dan tepung gandum yang sudah diayak dan digaul sehingga semua sebati dan menjadi doh lembut.
4.Canai leper dan terap menggunakan acuan bulat berbunga tepi
5. Letakkan buah prune yang sudah dihiris panjang ditengah biskut
6.Cantumkan bahagian bawah biskut dan susunkan dalam loyang
7Bakar selama 20 sehingga 25 minit pada suhun 170C
8.Sejuk dan simpan dalam balang kedap udara.


15 Ogos 2012

Ikan Cencaru Bakar Dgn Pemanggang Ajaib

Assalamualaikum :D
Iftar hari ini Kak Lin memasak simple2 jer...sebab projek membuat biskut raya sudah bermula...jadi hari ni Kak Lin hanya masak sawi putih masak lemak, sambal goreng, ayam goreng dan ikan bakar.  Cerita pasal ikan bakar ni, Kak Lin bakar ikan ni menggunakan Pemanggang Ajaib yang Kak Lin beli dari SINI . Ok juga Pemanggang ni tak melekat dan rasa ikannya pun sedap. Promotelaaa...pulak hik3

IKAN CENCARU BAKAR
Resepi : LinRosly


Bahan2:-
2 ekor ikan cencaru
3 ulas bawang putih
2 helai daun kunyit
Garam dan serbuk kunyit

Cara2:-
1. Tumbuk bawang putih kemudian lumur pada ikan bersama garam dan serbuk kunyit. Perap lebih kurang sejam atau lebih.
2. Kemudian balut ikan dengan daun kunyit dan bakar sehingga masak.
3. Sedia untuk dimakan dengan pencicah.


Bahan Pencicah:-
5 tangkai cili padi - dihiris
1/2 labu bawang besar - didadu
3 ulas bawang putih - didadu
2 biji limau kasturi
Kicap manis secukupnya

Cara2:-
1. Bahan yang dihiris dan didadu dimasukkan kedalam mangkuk kemudian perah limau  kasturi  dan masukkan kicap. Sedia dimakan dengan ikan bakar.


09 Ogos 2012

Ayam Goreng Berempah

Assalamualaikum :D
Ayam Goreng Berempah resepi asal Fp Chef Joha dan Kak Lin ambil daripada blog Mamasya yang telah Kak Lin cuba, perrhhh sedap! terasa semua rempah-rempahnya....masa tengah mengoreng pun dah terbau akan aromanya.....Terima kasih Mamasya sayang...Muaaahhhh.


AYAM GORENG BEREMPAH
Sumber : Fp Chef Joha
Blog: Mamasya 
Dicuba Oleh : LinRosly


Bahan2:-
1 kg ayam segar - dipotong ikut citarasa
1.5 inci halia - ditumbuk
1.5 inci lengkuas - ditumbuk
1.5 inci kunyit hidup - ditumbuk
2 sudu besar biji ketumbar - disanggar dan ditumbuk halus
1 sudu teh jintan halus - disanggar dan ditumbuk halus
1 sudu besar cili kisar - tanpa cuka / cili serbuk
3 ulas bawang putih
2 sudu besar gula halus
Garam secukup rasa
Minyak untuk mengoreng


Cara2:-
Potong ayam di bersihkan dan dibuburkan sedikit garam, gaulkan dan di tepikan.  Semua bahan2 rempah biji bijian (disanggar) dan ditumbuk halus, bawang putih, halia, kunyit, lengkuas ditumbuk jangan terlalu halus (jangan di blen). Gaulkan kepada ayam rata2 bersama gula halus, serbuk rempah yang ditumbuk. Diperam di peti sejuk sekurang-kurangnya 1 jam atau lagi lama lagi baik. Panaskan minyak dikuali untuk mengoreng. Bila sudah panas tarukkan ayam di dalam kuali. Jangan terlalu banyak bila digoreng, supaya ia mudah garing. Sajikan panas2.


01 Ogos 2012

Ulang Tahun Perkahwinan Yang Ke 26

Assalamualaikum :D
Hari ini 1hb Ogos, 2012 genaplah usia perkahwinan kami 26 tahun. Sepanjang melayari kehidupan sebagai suami isteri, segala suka duka, sedih pilu, susah senang, pahit maung telah kami hadapi bersama dengan tabah dan sabar. "Sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri". Jodoh pertemuan, ajal dan maut ALLAH jua yang menentukan. Semoga kami diberikan kebahagiaan yang berkekalan, diperluaskan rezeki kami, diberikan  kesihatan yang baik, jodoh yang berpanjangan sehingga keakhir hayat...Amin...Amin...Amin... 


Untuk pengetahuan kalian semua,  kami dikurniakan 3 orang permata hati 2 orang putera  dan seorang puteri,  yang sulong Mohamad Akmal 20 tahun masih belajar di salah sebuah IPT tempatan, dan yang ke 2 Muhamad Hafiz 18 Tahun di Metrikulasi dan yang bongsu Nabihah 15 tahun SMAKJ Kluang.  Kesemuanya masih belajar dan tinggal di luar daerah tempat kami tinggal.  Pada hari-hari biasa hanya Kak Lin dan suami sahaja yang tinggal dirumah. Anak2 balik sewaktu cuti hujung minggu atau cuti penggal dan cuti semester. Kalau mereka tak balik giliran Kak Lin dan suami melawat mereka. Begitulah perjalanan kehidupan kami....




31 Julai 2012

Puding Warna-Warni

Assalamualaikum :D
Semalam Kak Lin mencuba resepi Puding Warna-Warni dari buku Resepi Chef Hanieliza 1 Hari 1 Resepi tak tahulah jadi ke tidak, itu Kak Liza jer yang dapat menilaikannya...hik3. Mungkin belang warnanya tu tak sama dengan yang Kak Liza buat... janji rasanya sedap pasti habis!

PUDING WARNA-WARNI
Sumber : Chef Hanieliza 1Hari 1Resepi
Dicuba Oleh : LinRosly 


Bahan A:
10 gram serbuk agar-agar (1 paket)
1 liter air (5 cawan)
2 cawan gula halus
Bahan B:
1 tin susu cair
1 cawan tepung kastad
Bahan C:
1 sudu teh Nescafe
1 sudu makan air suam
Bahan D:
Pewarna merah dan hijau


Cara2:
1. Masak serbuk agar-agar, air dan gula halus hingga hancur
2. Bancuhkan bahan B
3. Masukkan bancuhan bahan B dan kacau sehingga sedikit pekat
4. Asingkan adunan kepada 4 mangkuk
5. Masukkan bancuhan bahan C (Nescafe) ke dalam satu mangkuk
6. Masukkan pewarna hijau ke dalam satu mangkuk dan kacau rata
7. Kemudian masukkan pewarna merah ke dalam satu mangkuk dan kacau rata
8. Biarkan satu bahagian pada warna asal (kuning kastad)
9. Lapiskan perlahan-lahan adunan Nescafe ke dalam acuan berselang seli dengan adunan warna merah, hujau dan juga adunan kastad.
10. Biarkan adunan keras sebentar
11. Sejukkan di dalam peti sejuk dan boleh dipotong
12. Sedia untuk dihidangkan.



28 Julai 2012

Masak Lemak Udang - Azza Elite

Assalamualaikum :D
Hari ini Kak Lin nak kongsi resepi daripada Azza Elite dalam Ketuk-Ketuk Ramadhan baru-baru ini... Resepinya Masak Lemak Udang.  Aduhai! dah berapa hari ni asyik makan lemak-lemak jer.... bertambahlah kolestrol yang sudah sedia ada dalam badan ni....kwang! kwang! kwang!.... :)

MASAK LEMAK UDANG
Sumber : Azza Elite (Ketuk-Ketuk Ramadhan)
Dicuba Oleh : LinRosly 


Bahan2:
1/2 kilo udang hidup - buang kulitnya
bawang merah*
bawang putih*
kunyit hidup*
cili padi*
halia*dikisar berasingan
kentang
susu sejat dairy champ* Kak Lin ganti santan
asam keping
serai
1 sudu minya masak


Cara2:
Tumis bawang merah, bawang putih hingga naik baunya. Masukkan cili padi, kunyit hidup, halia, asam keping, serai, kentang dan santan. Biarkan sampai kentang separuh empuk. Masukkan isi udang dan masak hingga udang masak.

Note: Bahan2 diatas tu Kak Lin pakai agak2 jer...




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...